Pakatan Rakyat sudah menghampiri
fasa terakhir penentuan 'hidup mati' perjuangan yang didokongi majoriti
rakyat yang mendambakan perubahan besar dalam lanskap politik negara.

Selama lebih 55 tahun, rakyat berada di dalam tempurung cengkaman BN.
Mahu tidak mahu rakyat 'terpaksa' menuruti segala kehendak dan acuan
yang ditentukan BN selama ia memerintah.
Berikutan dengan
tempoh berkuasa yang melepasi setengah abad, Umno-BN menjadi suatu
institusi yang sangat dominan. Ia mendominasi institusi Raja, ia
menguasai Parlimen, ia 'mendictate' institusi kehakiman, menguasai
polis, SPR, SPRM dan pelbagai lagi institusi utama dalam negara.
Penguasaan yang terlalu besar ini menghasilkan suatu keadaan yang tidak
seimbang, di mana seluruh sistem pentadbiran eksekutif, judiciari dan
legislatif, dipergunakan sepenuhnya untuk memperkukuhkan, melindungi dan
memanjangkan hayat BN.
Namun sepanjang mana pun usia sesebuah
kerajaan, kehebat mana pun pemimpinnya, sekuat mana pun institusinya, ia
pasti akan mencecah ke lembah kehancuran dan kepupusan.
Ia
akan hancur dan pupus kerana kerajaan yang kuat itu terlalu bermewahan
sehingga menanggung beban hutang yang besar. Ia juga disebabkan oleh
kepimpinan yang terlalu korup dan institusi yang terbina, sudah
tergelincir dari landasan asal perjuangan mereka.
Umno-BN sudah
tergelincir jauh, akibat kelalain rakyat yang memberikan mandat secara
'absolute' kepada mereka, sehingga tiada 'check and balance' boleh
dipertegaskan agar mereka tidak menyeleweng.
Umno sudah
tersasar kerana ia bergabung dengan rakan-rakannya dalam BN, atas dasar
memperjuangkan kepentingan bangsa, tetapi akhirnya bangsa itu
dikesampingkan dengan amalan kronisme, korupsi dan nepotisme yang
melampau.
Justeru, Umno tidak harus dibiarkan untuk kekal
berkuasa. Umno tidak harus diberi peluang sekali lagi untuk menerajui
negara selepas PRU13, kerana ia terbukti gagal memberikan jaminan masa
depan yang baik buat rakyat.
Ia mendakwa berjaya membangunkan
negara, membawa arus pemodenan, tetapi sebaliknya cuba menyembunyikan
akibat bahawa negara sudah hampir muflis kerana menanggung beban hutang
yang besar.
Umno terbukti gagal mensejahterakan hubungan antara
kaum, apabila akhbar miliknya sentiasa menyiarkan propaganda rasis yang
boleh mencetuskan permusuhan kaum.
Umno gagal memupuk
keharmonian beragama kerana ia sentiasa melakukan provokasi, sehingga
penganut agama tertentu berasa tertekan dan mempunyai daya sensitiviti
yang tinggi.
Umno terbukti jahat ke atas kaumnya sendiri iaitu
orang-orang Melayu, oleh hanya kerana mereka berbeza politik, ia
menyekat petroleum, menghalang pelaburan dan sentiasa mencetuskan
ketidakselesaan di Kelantan, Kedah dan Terengganu.
Pendek kata,
Umno adalah spesies yang jahat dan tidak boleh dipercayai. Semasa ia
gah ditampuk kuasa, ia akan menindas dan menzalimi sesiapa sahaja yang
tidak bersetuju dengannya, walaupun yang sebangsa dan seagama.
Manakala, tatkala ia terjatuh terjelepuk pada PRU 2008, ia mula
menghulurkan tali silaturrahim, dengan alasan jika Melayu tidak bersatu,
bangsa akan musnah.
Sifat hipokrit ini menjadi rutin dan
mainan mereka. Mereka menyalahkan individu tertentu, menyalahkan kaum
atau kelompok tertentu, yang didakwa mengancam masa depan agama dan
bangsa, sedangkan selama lebih 50 tahun, ia menjadi punca kehancuran
bangsanya sendiri.
Justeru, bagi rakyat yang amat-amat prihatin
dengan masa depan agama, masa depan anak-anak bangsa, khususnya
orang-orang Melayu tidak harus sama sekali ragu-ragu untuk meninggalkan
Umno.
Jika tiga orang bekas Presiden Umno, seperti Dato' Onn
Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn sendiri, diakhir hayat
mereka menolak Umno, maka apatah lagi kita, orang kebanyakan.
Maka pada PRU13 ini, pilihlah Pakatan Rakyat. Iaitu Pakatan yang berjaya
memerintah dengan cemerlang di Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan
Kedah.
Pakatan yang bakal membawa kecemerlangan di peringkat Persekutuan dengan mandat besar rakyat pada PRU13.
Tanpa ragu-ragu, pada Pakatanlah rakyat menyandarkan harapan untuk menggantikan BN.