Tempah & Merekabentuk Semua Jenis Banner Pelbagai Saiz Dengan Harga RM1.99 Sekaki Persegi | Telefon 012-286 36 17 Untuk Maklumat & Tempahan

Tuesday, April 17, 2012

ANAK MUDA DAN MAHASISWA BERSIAP UNTUK DUDUK BANTAH BERSIH 3.0


4 April 2012 menjadi satu lagi tarikh penting untuk negara Malaysia. Dengan dipimpin Sasterawan negara Datuk A.Samad Said, Bersih 3.0 diumumkan sebagai ekspresi bantahan rakyat terhadap sistem pilihanraya yang bercelaru. Setelah tercetusnya gelombang Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, kini gelombang yang lebih besar bakal tiba setelah sandiwara Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) semakin terdedah dan ditolak rakyat.

Sidang media ini kami adakan bagi menyatakan sokongan kami kepada penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 yang akan diadakan pada 28 April nanti. Pada hari ini 20 kumpulan anak muda dan 15 kumpulan mahasiswa bersatu dan berjanji akan bersolidariti bersama rakyat dalam himpunan Duduk Bantah Bersih 3.0. Muafakat ini kami bentuk atas dasar penuh sedar untuk membela sistem Pilihanraya Malaysia yang berada dalam keadaan sangat kritikal.

Keraguan yang terdapat dalam senarai daftar undi masih gagal diperjelaskan oleh pihak SPR. Satu persatu ahli akademik tampil dan menunjukkan kecelaruan yang berlaku dalam senarai daftar undi, namun SPR masih enggan melakukan tidakkan drastik untuk membersihkan daftar undi. Yang terkini Merdeka Centre mendedahkan 32 % pengundi dalam senarai daftar undi yang tidak dapat dipastikan keabsahannya. Begitu juga dengan laporan pengkaji bebas yang menyatakan terdapat hampir 6000 kes pengklonan daftar undi di Selangor. Tidak cukup dengan itu, terdapat juga kes kad pengenalan segera yang diberikan kepada warga asing yang direkodkan di beberapa tempat di Selangor.

Penipuan ini terus berlaku dalam keadaan rakyat terbuai dengan sandiwara Jawatan Khas Parlimen yang kononnya ditubuhkan bagi meningkatkan kualiti Pilihanraya di Malaysia. Empat bulan Jawatankuasa ini bertugas dan dalam masa yang sama penipuan dalam senarai daftar undi terus berlaku. Hal ini menunjukkan SPR tidak memiliki iltizam dalam melaksanakan tuntutan rakyat yang telah disuarakan melalui Bersih 2.0.

Maka atas dasar ini anak muda, mahasiswa dan seluruh rakyat Malaysia akan sekali lagi tampil untuk menyuarakan tuntutan kepada Kerajaan Malaysia dan SPR agar segera melaksanakan 8 tuntutan Bersih. Kesemua tuntutan ini perlu dilaksanakan sebelum Pilihanraya Umum ke 13 dijalankan. Dan pada 17 April 2012, Anak Muda dan Mahasiswa akan mengadakan sesi rapat rakyat bertempat di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru pada jam 8 malam bagi menyeru rakyat untuk Duduk Bantah bersama pada 28 April nanti. Seluruh kumpulan anak muda dan mahasiswa akan bersolidariti pada malam tersebut dan akan menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran Bersih 3.0.

Oleh itu sebagai penutup kepada sidang media ini, kami menyeru seluruh anak muda Malaysia untuk tampil dan bersuara dengan apa juga cara yang mungkin bagi menunjukkan solidariti kita dalam menutut Pilihanraya yang Bersih, Bebas dan Adil. Gunakan kemahiran masing masing samada dengan melalui laman sosial mahupun saluran saluran yang lain bagi menyuarakan tuntutan kita terhadap kerajaan Malaysia. Bagi yang berkelapangan, kami menyeru untuk tampil bersama kami pada 17 April ini agar kita dapat membina momentum ke arah Duduk Bantah Bersih 3.0 pada 28 April nanti.

Sekian. Terima kasih

No comments:

Post a Comment

Kenapa Aku Di Sini?