Buku Jingga yang diperkenalkan sewaktu konvensyen Pakatan Rakyat 2010, yang menggariskan perancangan jangka panjang dan jangka pendek dalam masa 100 hari Pakatan Rakyat mentadbir negara, sudah diteliti dan bersifat realistik.
Menurut Pengarah Strategi Keadilan, Rafizi Ramli, antara lain, buku jingga berkenaan menjanjikan penghapusan tol melalui pengambil alihan syarikat konsesi tol oleh kerajaan dalam masa 100 hari mentadbir Putrajaya.
“Apabila kita kata mencadangkan agar Khazanah Berhad mengambil alih dan menyerahkan operasi tol kepada kerajaan, kita sudah buat perkiraan bahawa kalau sekarang ini Khazanah dan Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) mampu membeli 21 peratus saham daripada pemegang saham minoriti, lambat laun Khazanah pasti mampu mengambil alih konsesi tol lebuhraya dan menyerahkannya kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui KeadilanDaily.
Menurutnya, setiap perkara yang dijanjikan dalam Buku Jingga, sudah diperhalusi dan melalui perkiraan yang teliti, seperti cadangan kenaikan gaji guru dan kakitangan pendidik sebanyak RM500.
Jadi, menurut Rafizi, tidak timbul isu samada cadangan-cadangan dalam Buku Jingga boleh dilaksanakan atau tidak kerana itu adalah prasyarat utama yang sudah diperhalusi sebelum ia disenaraikan dalam Buku Jingga.
Mengulas pertanyaan sebab beberapa akta kontroversi seperti Akta Penerbitan dan Percetakan yang tidak dicadangkan penghapusannya serta merta dalam 100 Pakatan mentadbir Putrajaya, Rafizi menjelaskan satu undang-undang yang lain diperlukan untuk penerbitan akhbar baru seperti permit dan sebagainya.
Namun, akta-akta yang bersifat menindas dan membenarkan penahanan tanpa bicara seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dihapuskan serta merta.
“Langkah untuk menghapuskan akta melibatkan (penindasan) seperti ISA memang tidak perlu kepada alternatif kerana kita sememangnya mahu menghapuskan undang-undang tersebut,” Kata Rafizi yang merupakan antara individu yang merangka buku berkenaan.
Buku Jingga adalah dokumen yang menggariskan falsafah besar Dasar Bersama Pakatan Rakyat untuk rakyat Malaysia menjelang pilihan raya umum yang akan datang.
Selain penghapusan kadar tol, buku jingga berkenaan turut menjanjikan pemansuhan Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA), merombak subsidi negara, membatalkan Felda Plantations, menaikkan royalti minyak di Sabah dan Sarawak dan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman negara.
Untuk Muat Turun Sila Klik Buku Jingga
No comments:
Post a Comment