Tempah & Merekabentuk Semua Jenis Banner Pelbagai Saiz Dengan Harga RM1.99 Sekaki Persegi | Telefon 012-286 36 17 Untuk Maklumat & Tempahan

Friday, February 24, 2012

KEADILAN Gesa Kerajaan Pertimbang Tuntutan CUEPACS Dan Pakatan Rakyat

Parti Keadilan Rakyat terbuka dengan tuntutan terbaru CUEPACS agar kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2500 untuk pekerja-pekerja di dalam perkhidmatan awam gred 1 hingga gred 54 menerusi skim yang sedia ada sebelum melaksanakan sebarang pembaharuan menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Di dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2012 yang dibentangkan sebelum Bajet 2012 Kerajaan Persekutuan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi komitmen bahawa sekiranya Pakatan Rakyat memegang tampuk kerajaan pusat, gaji minima pada kadar RM1,100 akan dikuatkuasakan buat penjawat awam. Ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 penjawat awam yang masih menerima gaji di bawah kadar tersebut di bawah skim saraan sedia ada.

Pakatan Rakyat juga komited untuk menyelaraskan tangga gaji perkhidmatan awam secara lebih saksama berikutan pengenalan gaji minima tersebut, selain insentif khas RM500 sebulan bagi setiap guru sebagaimana dijanjikan di dalam Buku Jingga.

Ini berbeza dengan syor awal SBPA yang dibentangkan kerajaan di mana seorang penjawat tertinggi kerajaan di dalam kategori Premier akan menerima sehingga RM80,000 sebulan sedangkan kenaikan pemandu serendah RM1.70 sebulan.

Mengikut maklumat dari laporan 2006 United Nations (UN) Public Administration Network Public Service, Malaysia mempunyai nisbah jurang gaji antara yang tertinggi dan terendah yang paling tinggi berbanding negara-negara jiran, iaitu sekitar 19.5:1. Ini bermakna
gaji penjawat tertinggi adalah 19.5 kali lebih tinggi dari gaji pegawai kerajaan yang terendah. Oleh itu, KEADILAN menyeru agar jurang nisbah gaji di antara yang tertinggi dan terendah dirapatkan, dan bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk merealisasikan
visi ini.

KEADILAN turut menyarankan agar semakan gaji dimandatkan supaya dibuat setiap 5 tahun, agar kenaikan yang selaras dengan inflasi akan dapat dilaksana dengan lebih mudah dan adil.

Justeru KEADILAN menggesa Perdana Menteri untuk mengkaji syor terbaru yang dibentangkan CUEPACS serta saranan Pakatan Rakyat sebelum ini demi membela nasib penjawat awam.

NURUL IZZAH ANWAR
NAIB PRESIDEN

PARTI KEADILAN RAKYAT

No comments:

Post a Comment

Kenapa Aku Di Sini?