Insiden mata lebam: Lepas belasah, polis ‘sujud’ minta maaf – Anwar
(Oleh Aedi Asri)
KUALA LUMPUR 17 Dis: Menyingkap kembali keperitan dilaluinya semasa
ditahan Umno BN di penjara Sungai Buloh, Datuk Seri Anwar Ibrahim
berkata, ada beberapa polis memohon maaf dan menginsafi kekejaman yang
dilakukan anggota pasukan itu ke atasnya.
“(Selepas) dipukul setengah mati, komandan kem jumpa saya pagi
esoknya (dan) saya tengok dia menangis…Dia tunduk, pegang lutut saya dan
mohon maaf. “Saya tanya sebab apa, awak pukul (saya)? Dia jawab tidak (bukan dia
yang pukul). Dia kata, semalam beliau dan isteri solat hajat minta saya
selamat.
“(Kemudian)
dia kata, ‘kalau saya ada wang (dan) boleh jaga keluarga, saya akan
berhenti (menjadi polis). Saya tak boleh tahan dengan kerja macam ini’,”
cerita Anwar kepada 50,000 hadirin pada Ceramah Kebangkitan Rakyat di
Dungun, Jumaat lalu, mengenang kebaikan beberapa anggota polis
terhadapnya ketika ditahan pada 1998.
Ekoran kejadian tersebut, Ketua Umum KEADILAN itu mengingatkan bahawa
bukan semua polis menurutnya, ‘jahat’ seperti mantan Ketua Polis Negara
(KPN), Tan Sri Abdul Rahim Noor.
Ini terbukti apabila seorang anggota polis turut datang dan menyapu
ubat pada lukanya, selepas polis peringkat atasan melarang doktor
memberi rawatan. “Seorang korporal polis ada bawa ‘Tiger Balm’ (ubat sapu), dia datang
dan sapu (pada luka). Itu sahaja rawatan untuk beberapa hari,” kata
Anwar.
Pada
29 September 1998, Anwar ke mahkamah dengan mata lebam. Imej itu
menjadi simbol kezaliman Umno BN dan penentangan rakyat ketika era
reformasi.
Rahim Noor kemudian didapati bersalah memukul Anwar. Pada 15 Mac
2000, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara dua bulan
dan denda RM2,000 terhadapnya.
Bagaimanapun, sehingga hari ini, tidak ada siasatan bebas mengenai
penglibatan Umno BN dalam serangan terhadap bekas Timbalan Perdana
Menteri itu pada malam 20 September 1998 oleh Rahim Noor, KPN ketika
itu. “Selepas 14 tahun, serangan mengerikan itu masih menjadi trauma seluruh negara,” kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.
Beliau merupakan peguam Anwar untuk kes perbicaraan insiden mata
lebam yang sepatutnya berlangsung 16 Oktober lalu tetapi dibatal setelah
Tan Sri Musa Hassan menarik balik saman fitnah terhadap Anwar berhubung
pemalsuan keterangan laporan perubatan oleh beliau dan Ketua Pasukan
Pendakwa Raya, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Surendran berkata, ketika ditangkap, Anwar diikat tangan, ditutup
mata, ditampar dan ditumbuk berulangkali sehingga jatuh ke lantai. “Dalam keadaan separuh sedar, darah keluar dari mulut dan hidung,
Anwar dinafikan hak mendapat rawatan. Malah dipaksa menandatangani
perintah tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). “Pegawai tertinggi polis ada di tempat kejadian. Namun tidak seorang pun yang mengambil tindakan membuat laporan,” ujarnya.
Pada malam tersebut, Anwar ditangkap secara salah oleh pasukan khas
polis yang menerima arahan kerajaan Umno BN diketuai Perdana Menteri, Dr
Mahathir Mohamad ketika itu.
Tangkapan dan serangan itu sebahagian dari perancangan Umno BN
mensabitkan Anwar dengan salah laku seks dan pertuduhan rasuah, selepas
beliau dipecat pada 2 September 1998. Namun kes berkenaan mendapat liputan meluas antarabangsa dan desakan
berterusan mengheret Rahim ke penjara serta dipecat dari jawatannya
sebagai ketua nombor satu dalam PDRM. Lebih teruk, kata Surendran, Anwar hanya diberi rawatan selepas empat
hari serangan dan dalam keadaan itu, beliau dipaksa memberi keterangan.
Pada 1 Oktober 1998, Dr Mahathir berbohong kepada rakyat Malaysia
dengan mengatakan bahawa "kecederaan itu dilakukan Anwar sendiri".
No comments:
Post a Comment